.: Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang :.

March 22, 2007

SUAMI YANG LALAI DALAM TANGGUNGJAWAB

Kemampuan sesorang itu memimpin diri dan ahli keluarganya ke jalan yang benar akan dapat mengelakkan dirinya dari kebinasaan (terjun ke dalam neraka).Jadi, kalau dia dapat mengelakkan dirinya dan ahli keluarganya dari terjun ke neraka, maka itulah bukti cintanya yang sebenar.

Allah swt. terlah berfirman yang maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia-manusia yang sombong dan engkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala……”


Adalah diriwayatkan oleh setengah-setengah ulama bahawa sesungguhnya pertama-tama yang bergantung kepada seseorang lelaki itu ialah isteri dan anak-anaknya. Maka, memberhentikan akan dia itu oleh mereka di hadapan Allah dan berkata mereka itu kepada Allah, ‘Wahai Allah! Ambil olehmu bagi kami dengan hakmu daripada lelaki ini. Iaitu selesaikan dulu hak kami dan kewajipan lelaki ini terhadap kami, sebab ia tidak mengajar kepada kami suatu hukum pun. Lelaki ini tidak menunjuk ajar kepada kami tentang hukum-hukum syariat dan hukum-hukum agama yang telah Engkau turunkan ke dunia.

Oleh itu kami sekarang hendak menuntut hak kami. Kerana dialah kami jahil. Kami tidak kenal apa-apa melainkan makan minum dan rumahtangga kami sahaja. Hati kami gelap dan akal kami pun gelap dan hati kami juga buta.Dan lelaki ini telah memberi kami makanan daripada harta-harta yang haram.Dia menerima harta riba dan rasuah dan diberinya kami makan.Dia membeli barang-barang najis dan menyuruh kami makan. Sedangkan kami mengetahui pada ketika itu samada barang itu haram atau halal.Baru hari inilah kami sedar.Oleh itu Wahai Tuhan,tahanlah ia dahulu, dan kami minta segala kesalahan yang ada pada kami serahkan padanya.
Maka pada ketika itu setelah anak dan isteri mengadu dan merayu kepada Allah, Allah menerima segala pengaduan kerana saksi-saksinya telah jelas.

Dan kalaulah pada ketika itu kita masih cuba berbohong,maka setiap helai rambut kita, semuanya akan menjadi saksi. Setelah diadili setiap kesalahan yang diadukan oleh anak isteri itu, maka Allah membalas akan kesalahan itu dengan siksa yang amat pedih dan dahsyat walaupun kebajikannya banyak dan walaupun timbangan amalnya begitu berat sekali. Kesalahannya terhadap anak isteri kerana tidak menyampaikan seruan agama ketika di dunia hingga menyebabkan mereka jahil itu boleh menghapuskan semua amal kebajikannya. Akhirnya suami itu terjerumus sama ke dalam neraka.

Adapun salah satu daripada kebinasaan yang boleh menimpa kepada seorang suami sepertimana yang difirmankan di dalam Al Quran yang maksudnya:
“Wahai sekelian orang yang beriman, janganlah segala harta-harta dan anak-anak kamu cuba melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian itu, merekalah orang-orang yang rugi di akhirat kelak.”

Firman Allah lagi yang maksudnya:
“Barangsiapa yang berpaling dari mengingatKu (Allah),maka hidup yang sesat sempitlah jadi baginya.”
Ingatlah satu peringatan Allah kepada seorang suami agar suami-suami sedar bahawa harta-harta serta anak-anak isteri boleh melalaikan mereka daripada mengingati Allah atau khusyuk di dalam beribadah kepada Allah.

Di antara perbuatan mengingati Allah yang terpenting sekali ialah sembahyang. Kalau di dalam sembahyang kita asyik teringat bagaimana hendak mengumpul harta untuk memberi kemewahan dan kesenangan kepada anak isteri atau bagaimana hendak memujuk hati isteri supaya dia sentiasa gembira, maka jangan mimpilah di dalam perkara-perkara lain kita boleh ingat kepada Allah seperti ketika kita bekerja mencari rezeki,ketika kita mendapat kesenangan dan sebagainya.

Dan yang paling menyedihkan ialah dalam usaha dia mengumpulkan harta-harta itu, dia tidak akan menghiraukan lagi tentang larangan-larangan Allah dan tidak memikirkan bagaimana hendak mendapatkan harta yang halal. Orang-orang seperti inilah yang akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang membinasakan diri di sebabkan oleh anak dan isteri.

Lagi satu kebinasaan yang akan menimpa kepada seseorang suami itu sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ghazali ialah akibat daripada suami-suami yang tidak melaksanakan hak kepada anak-anak dan isteri.Mereka-mereka ini adalah terdiri dari suami-suami yang tidak berani menegur atau menunjuk ajar anak isterinya sehingga sanggup membiarkan mereka melakukan perbuatan yang melanggar syariat.

Perkara yang melanggar syariat yang boleh dilakukan oleh anak isteri adalah banyak sekali daripada perkara yang haram hinggalah kepada perkara yang makruh dan dari kemungkaran yang kecil-kecil hinggalah kepada kemungkaran yang besar-besar. Seorang suami itu boleh menerima kecelakaan, kalau anak-anak dan isterinya melakukan kemungkaran atau melanggar syariat seperti mengumpat, mengeluarkan kata-kata lucah, mendedahkan aurat, mendengar lagu-lagu yang mengkhayalkan atau anak-anak perempuannya atau isterinya memandang kepada seseorang lelaki yang bukan muhrimnya.

Kemudian menurut Imam Ghazali lagi, bahawa sesungguhnya kebinasaan yang terdapat bagi seseorang yang berumahtangga itu adalah sangat banyak dan sangat merata, hingga
tidak dapat hendak diperkatakan satu persatu. Seseorang itu tidak akan dapat sejahtera daripada kebinasaan ini melainkan orang itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan agama dan mempunyai hikmah dan kebijaksanaan dalam memimpin dan mendidik anak isteri di dalam rumahtangga. Dan orang itu pula adalah yang mendapat pimpinan Allah setelah dia benar-benar suami yang sentiasa berdoa dan memohon sungguh-sungguh kepada Allah agar Allah membantu dia dalam mendidik dan menakluki anak isterinya, agar dia benar-benar dapat menunaikan kewajipan-kewajipan yang telah diamanahkan Allah swt kepada anak dan isteri.Dan akan anak dan isteri pula sanggup menerima dengan lapang dada.

Dalam hal ini tunjuk ajar kita adalah dengan tujuan agar anak dan isteri kita dapat memiliki iman orang-orang saleh kerana apabila mereka dapat memiliki iman ini, mereka juga kelak akan beramal sebagaimana orang saleh beramal. Dan sekiranya kita tidak berupaya menunjuk ajar mereka, serahkan kepada tok-tok guru..Ajak mereka mengaji Fardhu ain sama-sama. Sebab ini adalah kewajipan kita yang bukan saja tinggal di dunia saja tetapi akan berkait hingga ke akhirat. Di sana kita sebagai suami akan ditanya dan akan diungkit lagi oleh Allah swt.